Dr Noor Hisham berkata, Sabah mencatat kes tertinggi dengan 49 kes antaranya Kluster Pulau (14) dan Kluster Selamat (12). - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu COVID-19 di Tongod, Sandakan, Sabah iaitu Kluster Kuarters.

Selain kluster baharu itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut mengumumkan, jangkitan COVID-19 di negara ini menyaksikan peningkatan kepada 57 kes pada Isnin berbanding 52 pada Ahad.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 51 kes merupakan penularan tempatan membabitkan 45 warganegara dan enam bukan warganegara, manakala enam lagi adalah kes import membabitkan satu rakyat tempatan dan lima bukan warga negara.

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 751 kes," katanya.

Beliau turut memberitahu, negeri Sabah turut mencatat kes tertinggi dengan 49 kes antaranya Kluster Pulau (14) dan Kluster Selamat (12).

Sementara itu katanya, terdapat sembilan kes di unit rawatan rapi (ICU) dan dua lagi memerlukan bantuan pernafasan.

Kata beliau, tiada kematian direkodkan sekali gus menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 kekal sebanyak 130 kes.

Source: Astro Awani
  • Date Mon, 21 Sep 2020
  • Outbreak Covid-19
  • Category Sabah
  • View 2145
Share