NASIHAT KESIHATAN

Orang awam dinasihatkan untuk kekal tenang dan diminta mengelak sama sekali untuk menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan perhimpunan tabligh ini demi menjaga keharmonian umum. Sentiasa dapatkan maklumat terkini perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 ini dari kenyataan akhbar dan pengumuman yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri Malaysia dan/atau Kementerian Kesihatan Malaysia.

KKM ingin menegaskan keputusan Kerajaan yang telah diumumkan melalui Perutusan YAB Perdana Menteri Malaysia agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April 2020. Keputusan ini akan diteliti semula apabila situasi COVID-19 bertambah baik.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 kepada penduduk komuniti lemah (vulnerable community) dan rentan jangkitan terutama di kawasan pendalaman seperti komuniti Orang Asli, KKM menasihatkan agar sebarang organisasi atau kumpulan yang ingin menjalankan aktiviti bersama komuniti ini untuk menangguhkan berjumpa dengan penduduk komuniti ini. Namun begitu, KKM akan terus memberikan perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada penduduk kawasan pendalaman, termasuk kepada komuniti Orang Asli melalui aktiviti outreach. Ia bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan KKM serta kesihatan komuniti ini terus dipelihara.

KKM juga amat mengalu-alukan sebarang bantuan perubatan, sumbangan berkaitan perubatan atau kolaborasi perubatan yang ingin ditawarkan oleh mana-mana pihak termasuk organisasi bukan Kerajaan (NGO). KKM memohon agar tawaran atau usul tersebut dikemukakan kepada KKM melalui emel c[email protected] bagi diselaraskan oleh KKM.

Sebagai langkah mencegah penularan COVID-19 di hospital,

  1. pelawat ke hospital dihadkan kepada DUA (2) ORANG bagi setiap pesakit dalam satu-satu masa;
  2. kanak-kanak di bawah umur 12 TAHUN TIDAK DIBENARKAN melawat pesakit di wad;
  3. pelawat yang mempunyai GEJALA INFLUENZA seperti sakit tekak, batuk, selesema, demam, muntah dan cirit-birit tidak dibenarkan berada di wad; dan
  4. pelawat yang berisiko tinggi mendapat jangkitan seperti yang menghidap penyakit kronik dan indidvidu dengan imuniti rendah (contoh pesakit dalam rawatan barah) tidak dibenarkan melawat hospital KECUALI atas sebab kecemasan yang tidak dapat dielakkan.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 dari semasa ke semasa dan orang awam akan sentiasa dimaklumkan mengenainya.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

Source: DG of Health
  • Date Sat, 14 Mar 2020
  • Outbreak Covid-19
  • Category Tips
  • View 447
Share